Suasana
sedih menyelubungi majlis perpisahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah
Malaysia (SPRM) di ibu pejabatnya di Putrajaya hari ini.
Ia
bermula apabila Timbalan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah
Malaysia (SPRM) Datuk Seri Mohd Shukri Abdull meninggalkan pesanan
terakhir pada “anak-anak buahnya”.
Shukri mengambil kesempatan
mengingatkan mereka supaya menjalankan tanggungjawab dengan berani demi
melawan barah rasuah dalam negara.

“Kepada anak buahku, buatlah kerja dengan betul tanpa rasa takut dan
gentar kerana di SPRM bukanlah tempat untuk pegawai-pegawai yang kecut,
penakut dan gentar.

“Peliharalah kebebasan SPRM mencegah rasuah,
bukan satu kerja yang mudah banyak cabaran dan dugaan, hadapilah
rintangan ini dengan penuh cekal dan tabah,” katanya yang membuatkan
dewan suram.

Ketika ucapan itu, kedengaran esakan kakitangan SPRM sambil tunduk dan mengelap air mata.

Shukri akan meninggalkan suruhanjaya itu bersama dua lagi pegawai kanan
suruhanjaya itu, iaitu rakan sejawatnya Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM
(Pencegahan) Datuk Seri Mustafar Ali dan ketua pesuruhjayanya Tan Sri
Abu Kassim Mohamed.

Dalam ucapan itu Shukri turut memberi nasihat
kepada ahli politik, hakim dan pegawai-pegawainya supaya jujur dalam
menjalankan tugas kerana akhirnya mereka akan menerima hukuman di
akhirat.

“Nasihat saya, kepada para hakim jatuhkanlah hukuman
seadil-adilnya kerana semua pihak, siapa pun terlibat kerana satu hari
nanti kita akan bertemu Hakim yang adil, yang akan jatuhkan hukuman pada
kita.

“Pada waktu itu semua termasuk saya akan jadi saksi
terhadap diri kita sendiri, menjadi peguam bela ke atas diri kita
sesungguhnya hukuman itu akan menjadi hukuman yang paling adil
berdasarkan apa yang kita lakukan di muka bumi.

“Kepada
orang-orang politik, menteri-menteri wakil-wakil rakyat dan sesiapa
sahaja yang dalam politik, ingatlah tuan-tuan di atas sana kerana
rakyat.

“Utamakan rakyat berkhidmat lah dengan seikhlas hati dan
penuh berintegriti, ingatlah satu hari nanti rakyat akan jadi saksi bila
bertemu pencipta kita.

“Pada masa itu tidak jawatan tidak ada
pengaruh, tidak ada konspirasi, tidak ada kuasa yang boleh membantu
tuan-tuan untuk mengubah keputusan yang telah dibuat oleh pencipta
kita,” katanya dengan nada sebak.

“author unknown”