Oleh Mohammad Fakhrurrazi Mohd Rashid

‘Jangan jadi kuda tunggangan DAP’. Itulah ungkapan yang sering
digunakan oleh pemerintah Melayu kepada rakyatnya. Malah mereka
mengatakan bahawa Melayu akan lebih bangsat sekiranya orang Melayu tidak
menyokong UMNO. Hakikatnya, sudah berapa lama merdeka sekali pun, sudah
tukar Perdana Menteri sekalipun, kita masih mendengar keluhan orang
Melayu yang kecewa dengan taraf hidup mereka sendiri.

Persoalannya, siapa ‘tunggang’ orang Melayu sebenarnya?
Pemikiran Orang Melayu

Orang Melayu kebanyakannya terkenal dengan sikap ketaatan kepada
pemimpin. Tidak kira pemimpin itu melakukan kesalahan, sukar bagi
masyarakat Melayu untuk mengkritik atau melawan pemerintahnya. Orang
Melayu sejak turun-temurun lagi telah menerima sifat kehambaan itu
sendiri.

W.E Maxwell telah mengkaji dan mengenalpasti beberapa
peribahasa Melayu yang membuktikan ‘kehambaan’ orang Melayu itu sendiri.
Contohnya, peribahasa ‘anak-anak ikan kecil menjadi makanan ikan besar’
yang bermaksud orang bawahan sentiasa menjadi hamba orang atasan.
‘Siapapun yang menjadi raja, tanganku ke dahi juga’ bermaksud walaupun
pemimpin bertukar ganti, orang Melayu tetap taat kepada tuannya.

Pemikiran ini merupakan ‘saka’ kepada generasi Melayu hingga kini.
Politikus elit Melayu juga menjadikan pemikiran ‘taat’ orang Melayu
untuk mencengkam kekuasaan mereka. Orang Melayu tidak mempunyai jalan
untuk mengubah nasib dan bergantung penuh kepada kerajaan bagi mencari
makan. Oleh sebab pemikiran seperti ini, orang Melayu tidak pernah
percaya diri mereka itu mempunyai hak dan kuasa. Akhirnya, pemimpin
terus meninggi dan rakyat Melayu menjadi hamba. Pemikiran ini telah
memerangkapkan orang Melayu untuk maju ke hadapan dalam pelbagai aspek
hingga hari ini.

Kesengsaraan Orang Melayu dalam Politik

Dalam politik Melayu, golongan elit dan bangsawan sebenarnya untung.
Pemimpin Melayu, khususnya UMNO, mudah mengekalkan kuasa dengan
pemikiran ‘taat’ orang Melayu. Tahap kepercayaan ini sehingga setiap
keputusan diletakkan hak dan kepercayaan sepenuhnya kepada pemerintah
untuk melaksanakannya. Budaya pemikiran seperti ini telah membelakangkan
lagi orang Melayu dalam berpolitik.

Sistem menerima diri sebagai
‘hamba’ itu sendiri telah membentuk sebuah masyarakat yang tidak
produktif. Walaupun mereka mempunyai idea dan kuat bekerja sekali pun
dalam politik, mereka tetap akan kekal di bawah. Insan yang pandai
‘mengipas’ elit sahaja mempunyai peluang, itu pun sekerat.

Akhirnya secara mudah, orang Melayu dituduh oleh pemimpin sebagai Melayu
mudah lupa, Melayu malas dan bangsat. Walhal, pemimpin Melayu itu
sendiri telah menindas orang Melayu sehinggakan mereka malas untuk
bekerja kerana akhirnya mereka tidak memperoleh apa-apa, tetapi orang
atasan yang untung. Mereka tidak mempunyai pilihan lain selain taat
kepada pemerintah untuk terus hidup. Itulah yang berlaku dalam UMNO hari
ini. Masa berubah, tetapi konteksnya masih sama.

Kesengsaraan Orang Melayu dalam Ekonomi

Ekonomi merupakan aspek utama yang diperjuangkan oleh Melayu sejak
dahulu lagi. Daripada Dasar Ekonomi Baru (DEB) hingga Model Ekonomi
Baru, ekonomi masih menjadi isu kritikal dalam komuniti Melayu. Bebanan
ekonomi ini tidak dirasai oleh golongan pembesar, elit dan kapitalis
Melayu yang menikmati hasil yang berlipat kali ganda dengan hasil tender
dan projek yang ada.

Syed Hussein Alatas pernah mengkritik DEB
kerana dasar ini menghasilkan golongan kapitalis Melayu kerana
perpindahan aset negara diberikan kepada golongan Melayu ‘tertentu’
untuk memastikan penglibatan 30 peratus orang Melayu dalam ekonomi.
Untungnya pada kelompok ‘kecil’ yang kaya, bukan rakyat biasa.

Dasar yang ada sebenarnya hanya menguntungkan golongan elit Melayu dan
bukan rakyat biasa. Mereka kini terbeban dengan kos kehidupan yang
semakin membimbangkan. Jika dahulu mereka terpaksa memberikan hasil
tanaman kepada pembesar sebagai cukai perlindungan, kini mereka terbeban
dengan pelbagai cukai yang menelan duit kocek sendiri. Kalau dulu
mereka mempunyai tanah dan rumah, tetapi kini dua-dua perkara ini lesap
dari pandangan.

Kesempitan ini memaksa mereka bergantung kepada
pemimpin politik untuk mendapatkan kedudukan dan pendapatan dengan jalan
yang lebih mudah. Ini berlaku dalam kalangan kontraktor kelas F, yang
terpaksa membayar ribuan ringgit semata-mata untuk mendapatkan tender
kerajaan. Lebih mudah lagi sekiranya mereka membantu ahli politik
‘berkempen’ untuk partinya bagi mendapatkan projek. Tetapi, keuntungan
kontraktor ini hanya beberapa kerat sahaja. Lain semunya dikaut oleh
ahli politik Melayu.
Siapa ‘Tunggang’ Orang Melayu?
Orang
Melayu akan mula sedar sekiranya mereka tidak mendapat impak yang
efektif dalam pembangunan negara. Hasil keuntungan ekonomi Malaysia
hanya mengenyangkan perut pemimpin dan golongan elit Melayu. Pemimpin
Melayu itu sendiri telah menunggang orang Melayu ke jalan yang gelap
selama 58 tahun. Walau pun orang Melayu mempunyai hak keistimewaan dalam
perlembagaan, mempunyai jumlah majoriti, dan menjadi Perdana Menteri,
tetapi orang Melayu masih gagal membangun dalam sudut ekonomi dan
politik. Mengapa perkara ini boleh terjadi?
Lebih menghairankan
lagi apabila orang Melayu masih menyalahkan pihak lain seperti etnik
Cina dan pembangkang dalam kemunduran mereka sendiri. Mereka tidak
pernah menyalahkan pemimpin Melayu yang secara terang-terang memakan
keuntungan dan memundurkan rakyat Melayu sendiri. Ini semua hasil
daripada ‘saka’ warisan dan pemikiran yang ditanam oleh pemimpin Melayu
demi mempertahankan kuasa serta kekayaan mereka.
Hakikatnya,
orang Melayu sukar untuk berganjak mengubah nasib mereka kerana masih
takut akan perubahan kepada bangsanya sendiri. Perubahan minda ini akan
mengambil masa 100 tahun. Selagi ada lagi pak menteri UMNO dan keturunan
Melayu ‘tua’ yang menanam pemikiran ini, selagi itu ia akan kekal
bermasalah kepada generasi akan datang.
Persoalannya, Adakah orang Melayu masih larat ‘ditunggang’ UMNO lagi?
Mohammad Fakhrurrazi Mohd Rashid adalah pelajar tahun akhir, Kajian Politik dan Pemerintahan UNIMAS.