Berita
 | 
Politik

“Saya berani mati untuk Najib” – Ketua UMNO Kepong

"Saya berani mati untuk Najib" - Ketua UMNO Kepong

RIZUAN: Mati dalam politik adalah lebih baik daripada mati katak. Foto AWANI
 

KUALA LUMPUR: Ketua UMNO
Bahagian Kepong, Datuk Rizuan Abd Hamid menegaskan beliau akan berjuang
bersama presiden partinya, Datuk Seri Najib Tun Razak sehingga ke nafas
terakhir.

Beliau berkata, terlalu banyak jasa diberikan oleh
Najib untuk negara ini terutama dengan melakukan pembaharuan yang lebih
baik daripada apa yang dilakuan oleh bekas perdana menteri Malaysia
sebelum ini.

“Gagasan 1Malaysia, Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M)
bantuan persekolahan, Klinik 1Malaysia, pelbagai jenama 1Malaysia…
semuanya untuk bantu orang miskin tidak kira di kampung atau bandar,”
katanya ketika berucap pada Mesyuarat Perwakilan UMNO bahagian Kepong di
Hotel Hilton, KL Sentral pada Ahad.

Menurut Rizuan, ahli UMNO bahagian Kepong perlu menyokong kepimpinan Najib sebagai Perdana Menteri dan Presiden UMNO.

Beliau berkata, mereka (ahli UMNO bahagian Kepong) perlu berikrar untuk taat setia tidak berbelah bahagi kepada Najib.

“Saya berani mati untuk Najib. Jangan sentuh Najib. Kalau mahu mati,
mahu mati bersama Najib. Itu ikrar kami (ahli UMNO bahagian Kepong).
Mati dalam politik adalah lebih baik daripada mati katak,” katanya.

Rizuan berkata, walaupun banyak desakan yang meminta Najib meletakkan
jawatan, namun ketika ini tiada siapa yang layak untuk menggantikannya
sebagai Perdana Menteri Malaysia.

Katanya, sokongan diberikan kepada Najib kerana beliau masih mempunyai otak yang kuat dan hebat.

“Kenapalah anda semua mahu fikir untuk buang dia? Nak suruh dia
berhenti? Adakah ada orang lain yang layak selain daripada Najib?
Beritahu saya, ada ke? Zahid Hamidi pun kata beliau tidak bersedia
lagi,” tambahnya.

Saya telah mendapat satu salinan surat dari Tan Sri Haji Shukry
Mohd Salleh, Ketua Setiausaha Sulit Perdana Menteri kepada Dato’ Ahmad
Zaini Othman, CEO Malaysia Building Society Berhad (MBSB) bertarikh 20
Oktober 2015 yang disertakan bersama.
mbsbkumnokepong
Surat tersebut mengarahkan supaya MBSB mengenepikan notis kebankrapan
terhadap Datuk Rizuan Abdul Hamid, Ketua Umno Kepong berhubung
pembangunan 10 unit banglo di Bukit Tunku. Selain itu, surat itu secara
jelas menyatakan arahan agar MBSB menyelesaikan tuntutan pinjamannya
terhadap Datuk Rizuan Abdul Hamid di luar mahkamah.
Datuk Rizuan Abdul Hamid adalah salah seorang Ketua Bahagian Umno
yang paling lantang membela Dato’ Seri Najib Tun Razak. Beliau menjadi
popular apabila mengikrarkan beliau berani mati untuk Dato’ Seri Najib
Tun Razak semasa Mesyuarat UMNO Bahagian Kepong tahun lalu seperti
dilaporkan Awani http://www.astroawani.com/berita-politik/saya-berani-mati-untuk-najib-ketua-umno-kepong-70947
MBSB pula adalah sebuah anak syarikat Kumpulan Simpanan Wang Pekerja
(KWSP) yang memiliki 65% saham di dalam MBSB. Oleh itu, MBSB adalah
pembiaya rumah milik rakyat yang perlu dilindungi dari campur tangan
politik.
Saya telah membuat semakan awal dan berpendapat surat ini adalah
benar dan tulen berdasarkan maklumat yang saya perolehi setakat ini.
Oleh yang demikian, saya mengingatkan Dato’ Seri Najib Tun Razak
supaya berhenti campur tangan di dalam urusan mana-mana badan atau
syarikat berkepentingan awam sama ada campur tangan itu secara langsung
atau tidak langsung. Beliau juga perlulah mengeluarkan arahan kepada
semua anggota Jemaah Menteri supaya tidak mengeluarkan surat-surat
arahan seperti ini dan menghentikan segala campur tangan di dalam
mana-mana badan atau syarikat berkepentingan awam.
Saya kesal kerana seolah-olah Perdana Menteri masih belum belajar
dari skandal 1MDB yang telah menjejaskan nama baik dan kedudukan
kewangan negara kerana suburnya budaya ahli politik campur tangan di
dalam pengurusan syarikat atau badan berkepentingan awam.
Paling dikesali adalah apabila Perdana Menteri boleh mengarahkan
sebuah bank mengenepikan tindakan kebankrapan ke atas seorang Ketua
Bahagian Umno pada ketika beribu-ribu rumah rakyat miskin disita dan
dilelong setiap minggu sementara pemiliknya jatuh muflis hanya kerana
gagal membayar beberapa ribu.
RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN