KIT SIANG DAN DR MAHATHIR


29 Mar 2016 

1. Saya diberitahu bahawa ramai ahli dan pemimpin bawahan UMNO marah
kerana saya berada bersama Kit Siang dalam usaha menjatuhkan Dato Seri
Najib.

2. Ya, ini memang pelik dan aneh. Kami adalah musuh ketat.
Tetapi kami berdua mempunyai pendirian yang sama berkenaan penyingkiran
Najib sebagai Perdana Menteri.

3. Sepatutnya penyingkiran ini
dibuat oleh UMNO. Dalam pertandingan antara saya dengan Tengku Razaleigh
ahli dan pemimpin UMNO secara terang boleh memihak kepada Tengku
Razaleigh. Saya tidak menakutkan mereka, tidak membuang mereka dari
jawatan atau parti. Yang Menteri terus jadi Menteri, demikian juga Ketua
Bahagian dan perwakilan.

4. Tetapi hari ini kebanyakan ahli dan
pemimpin UMNO sudah jadi bisu, pekak dan buta. Mereka tahu kesalahan
Najib tetapi mereka sokong juga Najib. Walau apa pun kesalahan yang
dilakukan oleh Najib mereka tetap sokong.

5. Mungkin kerana dedak
yang disuap oleh Najib. Shahrir mengaku dia terima 1 juta dan Ahmad
Maslan 2 juta (laporan di sini). Takkan yang lain tidak dapat habuan.

6. Kerana kepentingan diri dan tamak UMNO tidak akan menjatuhkan Najib.
Kerana kepentingan diri, bangsa, negara dan agama juga sanggup dijual.
Tidak ada ahli UMNO selain daripada beberapa Ketua Cawangan yang berani
menentang Najib. Kalau nak harap UMNO jatuhkan Najib, tidak mungkin.

7. Ini bukan UMNO lagi. Janganlah berlagak sebagai ahli UMNO yang
kononnya tidak sanggup melihat saya bersama Kit Siang. Yang tidak sayang
UMNO ialah kamu sekalian, kamu yang membisu, kamu yang pekak dan buta
kerana semua anggota ini sudah ditutup dengan dedak dan lain-lain.

8. Jangan soal saya. Soal diri sendiri. Apakah kamu berjuang untuk
bangsa, agama dan tanahair apabila kamu melindungi perbuatan Najib
menghilangkan duit rakyat dan sekarang menjual tanah yang dibeli dari
Kerajaan berharga RM60/- satu kaki persegi dan dijual kepada Tabung Haji
dengan harga RM3,500/- satu kaki persegi, mengenakan cukai G.S.T.
keatas rakyat dan menghapuskan subsidi untuk bayar hutang 1MDB sebanyak
42 billion Ringgit, memiliki 2.6 billion Ringgit dalam akaun peribadi
yang disembunyi daripada rakyat, kononnya untuk PRU 13 tetapi, kononnya
belanja lebih dari 1 billion Ringgit untuk PRU 13 tetapi kemudian hantar
balik kepada penderma 2.03 billion. Tak masuk akal 2.6 tolak 2.03
tinggal berapa? Dari mana datang 1 billion lebih yang kononnya dibelanja
untuk PRU 13. Perbelanjaan yang begini banyak menyalahi undang-undang.

9. Najib memalukan negara kerana Malaysia sekarang dikenali sebagai 1
dari 10 negara yang mengamal rasuah terbesar. Najib sendiri dicemuh
diseluruh dunia. Inilah pemimpin yang awak sokong dan pertahan. Ini
adalah pengkhianatan terhadap UMNO, terhadap orang Melayu, terhadap
negara.

10. Rakyat lebih benci melihat ahli UMNO yang menyokong
Najib daripada ahli UMNO berada diatas pentas bersama Kit Siang untuk
menjatuhkan Najib.

11. Kami tak makan dedak sesiapa.